Minggu, 24 Juli 2011

TAZKIRAN AWAL RAMADHAN 1432H

Alhamdulillah, masih sempat lagi jiwa ini berenak-enak dalam damai bayu Ramadhan 1432H. Selepas 11 purnama meninggalkan Ramadhan yang lalu, tidak pasti, apakah tarbiyah Ramadhan 1410H berbekas pada akhlak dan budi. Sungguh kerdil manusia di sisi Allah s.w.t. Cakap berdegar-degar, tetapi aplikasinya tidak seberapa.
Setiap kali Ramadhan bermula, maka kita diingatkan bahawa Ramadhan ialah satu madrasah. Satu sekolah. Sekolah untuk mendidik manusia menghayati tauhid kepada Allah s.w.t.. Sekolah untuk mengawal nafsu pada saat syaitan dirantai. Sekolah untuk membentuk jiwa agar sentiasa dekat dan rindu Tuhan pencipta. Sekolah untuk memfokuskan setiap tingkah laku supaya diiktiraf sebagai satu ibadat kepada Allah s.w.t.
Ramadhan ini, berhentilah tanam keazaman yang baru!
Ya, berhenti tanam azam yang baru. Untuk apa bina keazaman yang baru jika sekolah Ramadhan yang lama pun ibarat sekolah swasta yang mahal yang ada guru, ada buku, ada undang-undang, tetapi pelajar-pelajarnya berlagak dan sombong pada pentadbiran sekolah? Oh, kitakah pelajar-pelajar itu?
Sekolah Ramadhan lalu, ada gurunya iaitu Allah s.w.t. yang menyiapkan untuk kita akidah dan syariat terluhur, ada bukunya iaitu al-Quran yang sarat dengan panduan dan pengkisahan yang penuh iktibar, serta ada undang-undangnya iaitu syariat yang terbentuk daripada sumber primer dan sekunder. Ia satu pakej lengkap! Tinggal kita yang setiap nama kita didaftarkan secara rasmi sebagai pelajar-pelajar sekolah Ramadhan… Ada kalanya kita culas, malas, ketegaq, mengelat, mengulaq dan bosan dengan syariat terindah itu.

0 komentar: